Free Website Counters
Free Website Counters SPY the Man: PM: Kembalikan untung -- *Proton rugi RM619.9 juta *Tiada kerjasama dengan Volkswagen

Friday, June 01, 2007

PM: Kembalikan untung -- *Proton rugi RM619.9 juta *Tiada kerjasama dengan Volkswagen

KUALA LUMPUR 31 Mei – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Proton Holdings Bhd. (Proton) yang mengalami kerugian sebelum cukai RM619.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac lalu, segera melakukan sesuatu supaya kembali mencatat keuntungan.

“Proton tidak boleh terus-menerus mencatat kerugian,’’ kata Perdana Menteri ketika diminta mengulas kerugian Proton yang diumumkan hari ini.

Ditanya adakah kerugian itu memerlukan pengurusan tertinggi syarikat automobil nasional itu dirombak, Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata: “Proton perlu melakukan apa sahaja yang difikirkan perlu.’’

Bagi tahun kewangan sebelum ini, syarikat itu mencatat keuntungan sebelum cukai RM18 juta.

Mengenai kerugian itu, antara lain ia disebabkan jumlah jualan yang lebih rendah dan gabungan faktor lain, termasuk perbelanjaan hangus dan peruntukan lain.

Penjualan kereta Proton pula jatuh sebanyak 40 peratus daripada 183,824 unit kepada 110,358 unit tahun semasa yang disebabkan persekitaran pasaran yang lebih kompetitif.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2007, pembuat kereta nasional itu turut mencatat penurunan perolehan kepada RM4.9 bilion daripada RM7.8 bilion pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Perdana Menteri pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, turut memberitahu kerajaan telah memutuskan bahawa Volkswagen (VW) tidak berminat terhadap cadangan tawaran pemilikan ekuiti oleh Proton.

“Saya telah putuskan bahawa VW tidak berminat terhadap cadangan yang dimahukan Proton dari segi pemilikan ekuiti. Mereka (VW) mahukan kerjasama dalam bentuk lain,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berpendapat Proton perlu berbincang dengan pihak

lain dalam mendapatkan rakan kongsi strategik.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dalam satu kenyataan bagi mengumumkan kedudukan kewangan syarikat kereta nasional itu hari ini menjelaskan, kejatuhan nilai kereta terpakai selain amalan penapisan permohonan pinjaman yang lebih ketat turut memberi kesan kepada bakal pembeli kereta nasional itu.

“Keputusan kewangan Proton juga terjejas akibat perbelanjaan hangus dan peruntukan lain,” katanya ketika mengulas kerugian tersebut.

Namun begitu, saham Proton ditutup lebih tinggi pada RM5.35, naik 25 sen dengan 5,845 lot saham bertukar tangan sepanjang sesi dagangan hari ini.

Tambah Syed Zainal, bagi menghadapi cabaran operasi pada tahun kewangan 2007/08 yang dijangka lebih mencabar, Proton akan memberi tumpuan kepada keberkesanan operasi, kos yang lebih kompetitif serta pengenalan model baru, selain kempen pemasaran yang lebih fokus dan agresif.

Sebagai contoh, katanya, inisiatif itu telah membuahkan hasil apabila penjualan kereta meningkat sebanyak 29 peratus pada suku keempat kepada 27,458 unit berbanding 21,248 unit pada suku ketiga.

Syed Zainal berkata, Proton merancang untuk melancarkan dua model baru pada tahun kewangan 2007/08 yang boleh menarik minat golongan sasaran bakal pembeli.

Bagi meningkatkan rantaian nilainya, Syed Zainal berkata, pelaksanaan program rasionalisasi rangkaian jualan dan vendornya sedang dilaksanakan dan gabungan pengedar Proton Edar dan cawangan EON akan dikurangkan kepada 300 pada akhir tahun ini.

Proton juga, kata beliau, telah mengeksport 20,595 unit kereta pada tahun kewangan terakhirnya berbanding 12,526 unit pada tahun kewangan sebelumnya.

Mengenai rakan strategik Proton, beliau berkata, pihaknya sedang berunding dengan kerajaan dan pemegang saham lain dan beliau percaya rakan strategik syarikat itu akan memperkukuhkan perniagaannya selain meningkatkan nilai tambah dalam operasinya.

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

QUESTION:
What is the main factor for you to buy a Proton Car?
Low price and no other choice due to budget
Good resale value
Low maintenance cost
Ride & Handling is good
Reliable parts, chasis and engine
Good Styling exterior & Interior
Patriotism (I support Made in Malaysia Products)
Follow others (Follow Majorities should be the best choice)