Free Website Counters
Free Website Counters SPY the Man: Rundingan strategik Proton, VW

Sunday, June 10, 2007

Rundingan strategik Proton, VW

KUALA LUMPUR 9 Jun – Rundingan yang sedang berjalan antara Proton Holdings Bhd. (Proton) dengan Volkswagen AG (VW) dari Jerman di New York berhubung kerjasama mereka kini menarik perhatian banyak pihak dalam industri automotif dari dalam dan luar negara.

Anda mungkin bertanya: ‘‘Orang Malaysia dan Jerman berbincang mengenai nasib syarikat kereta nasional kita di Amerika Syarikat (AS)?’’

Anda juga mungkin hairan: “Mengapa rundingan tersebut tidak dibuat di Tanjung Malim atau Jerman, mengapa Amerika Syarikat yang di luar peta?’’

Pegawai Proton menjelaskan bahawa rundingan itu diadakan jauh di luar negara kerana para perwakilan Proton dan Khazanah Nasional Bhd. dan wakil kerajaan Malaysia adalah satu strategi dan perlukan ketenangan kerana rundingan dengan VW kali ini melibatkan banyak perkara yang ‘sensitif’.

Malahan rundingan itu sengaja diadakan serentak dengan kehadiran Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan delegasinya yang sedang melawat New York sekarang bagi mengelakkan para perwakilan Proton yang terlibat dalam rundingan itu terganggu dengan sebarang spekulasi. Mungkinkah?

Khazanah, yang merupakan sayap pelaburan kerajaan Malaysia selaku pemegang saham terbesar dalam Proton sebanyak kira-kira 43 peratus perlu memainkan peranan dengan begitu teliti dalam rundingan dengan VW.

Ini bagi memastikan identiti Proton sebagai syarikat kereta nasional tetap terpelihara dalam mencari rakan strategik yang boleh membawa `nafas’ baru kepada syarikat kereta nasional itu yang sedang berhadapan dengan masalah kerugian besar.

Pegawai Proton menjelaskan memang sukar mencari kaedah penyelesaian terbaik kepada masalah Proton sekarang kerana tiada sesiapa pun mahu melabur dalam sesebuah entiti sekadar menjadi pemegang saham minoriti, lebih-lebih lagi dalam keadaan Proton berdepan dengan masalah kerugian.

Sedangkan pihak yang bakal menjadi rakan strategik terutama VW dalam konteks ini terpaksa membuat pengorbanan besar mempertaruhkan teknologi dan inovasinya dalam model-model kereta berkualiti tinggi buatan syarikat kereta dari Jerman itu, yang tinggi harganya.

Malahan faktor itu dikatakan menjadi penyebab utama `tumbangnya’ rundingan usahasama dengan syarikat pengeluar kenderaan Perancis, Peugeot S.A sebelum ini dan juga dikatakan punca VW sebelum ini keberatan meneruskan rundingan pada Mac lalu.

Kerajaan Malaysia telah mula mencari rakan strategik untuk Proton sejak usahasamanya dengan Mitsubishi Motors Co. tamat pada tahun 2004.

Sejak itu, beberapa siri perjanjian persefahaman dijalin oleh pengurusan baru Proton bagi menyelidik kemungkinan mengadakan usahasama dengan Peugeot dan Chery dari China, bagaimanapun semua usaha itu menemui jalan buntu.

Berdasarkan `teori’, Proton berunding dengan VW untuk mencipta perkongsian strategik iaitu pengeluar kereta Jerman itu akan memindahkan teknologi automotif dan membantunya mengeluarkan model baru bagi pasaran eksport, tetapi dari segi realiti banyak perkara perlu dihalusi oleh kedua-dua pihak sebelum mereka boleh mencapai sebarang keputusan muktamad.

Di pihak VW, tarikan utamanya terhadap Proton ialah kemudahan kilang pembuatan kereta canggih miliknya di Tanjung Malim yang boleh membantunya mengeluarkan kereta sedan berenjin saiz kecil pada kos yang rendah di Malaysia untuk pasaran rantau sebelah sini.

Semua pihak bersetuju malahan Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersetuju pakatan strategik adalah penyelesaian kepada masalah dihadapi Proton pada masa ini.

Keadaan tiba ke tahap membimbangkan apabila Proton terus-menerus mencatat kerugian dalam prestasi kewangan tahunannya pada bulan lalu dengan mengalami kerugian besar sebanyak RM619.9 juta.

Ia mendorong Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 31 Mei lalu, menggesa Proton melakukan apa sahaja bagi kembali membuat untung termasuk mencari calon rakan kongsi yang baru.

Dalam konteks ini, ia sekali gus menjadi titik tolak kepada Khazanah untuk melonggarkan sedikit ketegasannya daripada segi pembahagian ekuiti dengan pihak yang berminat menjadi rakan kongsi Proton termasuk VW.

Selain VW, beberapa syarikat automotif tempatan termasuk Kumpulan Naza, DRB-Hicom dan Kumpulan Mofaz menunjukkan minat mengadakan pakat strategik dengan Proton yang memasang Honda dan Suzuki.

“Kita memerlukan pakatan strategik,’’ kata Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Azman Mokhtar sebagai tanda bersedia berunding dan mengurangkan tekanan kepada pihak yang berminat menjadi rakan kongsi Proton.

“Kami bersedia mengkaji daripada aspek kawalan terhadap bahagian tertentu perniagaan. Ia mungkin tidak disukai tetapi mungkin wajar, misalnya dalam bidang perkilangan,’’ tambah beliau.

Kebimbangan Khazanah ini bukannya tidak berasas kerana kawalan asing terhadap Proton dikhuatiri boleh menjejaskan identiti Proton yang ditubuhkan pada 1983 oleh Dr. Mahathir yang ketika itu merupakan Perdana Menteri keempat negara.

Matlamat penubuhan Proton ialah bukan sahaja memberi peluang kepada semua rakyat jelata mampu memiliki kereta nasional tetapi juga memacu ekonomi negara ke tahap negara perindustrian.

Malangnya, masalah yang membelenggu Proton ialah daripada segi kualiti pembikinannya menyebabkan ia sukar mempertahankan pengguna setia selain ketiadaan model baru yang segar dan memenuhi selera ramai.

Kualiti kereta Proton yang rendah boleh dianggap antara penyebab penjualannya jatuh sebanyak 40 peratus daripada 183,824 unit kepada 110,358 unit tahun 2006 yang disebabkan persekitaran pasaran yang lebih kompetitif.

Lebih memburukkan keadaan ialah aliran tunainya yang pernah berdiri megah pada RM3 bilion, hari ini menyusut kepada RM461 juta sahaja.

Maka rundingan dengan VW memang menjadi tumpuan ramai kerana semua pihak yang berkepentingan dalam Proton dan rakyat Malaysia menunggu hasil rundingan itu.

Jika rundingan dengan VW gagal sekalipun, semua pihak berharap dalam tempoh tiga bulan lagi Proton tetap tidak ada pilihan, perlu memuktamadkan siapa bakal rakan strategiknya.

Labels: ,

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

QUESTION:
What is the main factor for you to buy a Proton Car?
Low price and no other choice due to budget
Good resale value
Low maintenance cost
Ride & Handling is good
Reliable parts, chasis and engine
Good Styling exterior & Interior
Patriotism (I support Made in Malaysia Products)
Follow others (Follow Majorities should be the best choice)