Proton dipikat Geely ke China
Proton dipikat Geely ke China
KUALA LUMPUR 21 Feb. - Selepas sehari dilaporkan bakal menjadi rakan kongsi Cherry Automobile Co. Ltd. dari China, Proton Holdings Bhd. (Proton) dipikat pula oleh pengeluar kereta terbesar di China, Geely Automobile Holdings Ltd. untuk memasuki negara itu.
Pengarah Eksekutif Geely Automobile, Lawrence Ang berkata: ``Kami mempelawa Proton untuk menggunakan lebih 600 buah pusat pameran kami untuk mempromosikan kereta Malaysia di China.''
Geely Automobile menjual 143,000 buah kenderaan keluarannya pada tahun lalu dengan 95 peratus dipasarkan di negara komunis itu.
``Kami telah bertemu dan mengadakan rundingan dengan Proton tetapi belum mencapai sebarang kata putus mengenai kerjasama antara kedua-dua gergasi automotif itu.
``Kami sedang menunggu sebarang maklum balas dari rundingan itu kerana sangat berminat serta bersedia untuk membantu Proton menembusi pasaran automotif negara China,'' kata Ang.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa persidangan bertajuk `Hong Kong's China Play' anjuran CIMB-GK di sini, hari ini.
Mengulas mengenai operasinya di Malaysia, Ang berkata, kerjasama Geely Automobile dengan Information Gateway Corporation Sdn. Bhd. (IGC) untuk memulakan pemasangan kereta secara pemasangan tempatan (CKD) sedang menanti kelulusan dari kerajaan.
Pada masa yang sama, pihaknya turut menantikan pengumuman Dasar Automotif Nasional (DAN) sebelum memeterai perjanjian usaha sama dengan rakan kongsi tempatan bagi mengeluarkan kenderaan Geely, jelas beliau.
``Kami berharap dapat memulakan operasi pemasangan itu pada tahun ini dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 50,000 setahun untuk dipasarkan di peringkat tempatan dan ASEAN,'' katanya.
Katanya, Geely Automobile juga tidak akan teragak-agak untuk melabur lebih RM100 juta bagi menambah kapasiti kilang pemasangan sedia ada milik IGC bagi mencapai sasaran menjadikan Malaysia sebagai pusat pengeluaran kenderaan keluaran firma China itu di rantau ASEAN.
Menerusi IGC, ahli perniagaan, Datuk Cam Soh Thiam Hong Cam telah mendapat francais eksklusif untuk membawa kereta diimport sepenuhnya (CBU) keluaran Geely Automobile ke Malaysia.
Selain itu, Hong Cam turut mendapat francais eksklusif bagi program memasang kereta (CKD) Geely di Malaysia menerusi IG Bumi Sdn. Bhd.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home